- New Me Admin
Transformasi New Me 2019 tawar hadiah lumayan
Oleh Syahmi Hassan | Media Permata
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Pertandingan kecergasan, Cabaran Transformasi New Me 2019 yang menawarkan wang tunai $10,000 dan hadiah-hadiah bernilai lebih $20,000 akan diadakan di Brunei Darussalam dan bakal berlangsung selama enam bulan, awal April hingga pertengahan Oktober di Fitness Zone, Kiulap.
Pengumuman cabaran tersebut telah dibuat semasa majlis penandatanganan perjanjian kerjasama antara Fitness Zone dengan Progresif selaku penaja pertandingan tersebut, yang berlangsung di Kiulap, hari ini.
Hadir bagi menandatangani bagi pihak Fitness Zone ialah Pengarah Urusan dan pemilik Fitness Zone, Wu Chun, manakala itu. Progresif diwakilioleh Ketua Pegawai Pemasaran, Devin Edwards.
Pendaftaran bagi cabaran berkenaan akan bermula esok hingga akhir Mac dan dibukakan kepada orang ramai berumur 18 tahun ke atas yang tidak hamil dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius.
Bagi setiap pendaftaran, bayaran akan dikenakan yang termasuk akses percuma ke Fitness Zone, analisis badan dan penilaian kecergasan, akses untuk Bootcamp Transformasi, nasihat kecergasan dan pemakanan serta bermacam-macam lagi.

Cabaran dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘Progresif Weight Loss Challenge’ dan ‘RB Fitness Take Off Challenge’ dengan penyertaan terhad kepada 300 peserta setiap kategori.
Sepanjang cabaran berkenaan, proses penyingkiran akan dilakukan setiap bulan selepas sesi timbang badan.
Para peserta akan diberikan maklumat mengenai tabiat makan yang betul, garis panduan diet dan program latihan yang dibuat khusus untuk mereka ikuti. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan nasihat daripada jurulatih kesihatan berkelayakan di Fitness Zone.
Acara tersebut juga bertujuan untuk membentuk komitmen dan dedikasi dalam diri peserta bagi merubah diri ke arah kesihatan dan kecergasan yang lebih baik.