- New Me Admin
RB, Fitness Zone jalin kerjasama
Oleh Syahmi Hassan | Media Permata
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) akan bekerjasama dengan Fitness Zone dalam menjayakan acara Cabaran Transformasi New Me 2019 yang akan diadakan bermula pada awal April nanti.
Sehubungan itu, satu majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) telah diadakan hari ini di Fitness Zone, Kiulap. Hadir bagi mewakili RB ialah Ketua Penjualan RB, Ai Ling Ng dan Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun mewakili bagi pihak Fitness Zone.
Turut hadir di majlis penandatanganan itu ialah perwakilan RB lainnya iaitu Pengurus Negara di Brunei, Lim Guat Wen dan Pegawai Pemasaran Fitness Zone, Amalina Jaafar.
Hasil daripada penjanjian itu, RB telah bersetuju menaja hadiah berupa tiket-tiket penerbangan ke London, Taipei, Tokyo dan Kuching yang kesemuanya bernilai $11,000.
Ai Ling Ng semasa di acara tersebut menjelaskan, “RB gembira kerana bekerjasama dengan Fitness Zone untuk menjadi syarikat penerbangan rasmi bagi pertandingan yang menarik ini. Hadiah tiket-tiket penerbangan dari RB adalah antara laluan-laluan terbaharu kami.”
“RB menyokong acara ini dengan kepercayaan bahawa gabungan gaya hidup dan perjalanan yang sihat adalah pen-ting untuk minda, badan dan jiwa yang sihat,” tambah Ai Ling Ng.
Beliau turut mengongsikan dengan pengembangan rangkaian mereka, pelanggan RB akan meraih manfaat daripada penerbangan terus dan meningkatkan sambungan ke destinasi lain.
Sementara itu Wu Chun berkata, “Setakat ini, kami telah menerima hampir 200 penyertaan dalam masa yang singkat dan berharap orang ramai akan merebut peluang ini dengan mendaftar diri sementara penyertaan masih lagi dibukakan sehingga akhir Mac ini.”
Wu Chun juga mengongsikan bahawa hadiah tajaan dari RB tersebut akan termasuk dalam pakej hadiah-hadiah utama. Bagi Kategori ‘RB Fitness Take Off’, RB telah menaja dua tiket penerbangan ke London bernilai $5,800 bagi pemenang pertama, satu tiket penerbangan ke Taipei bernilai $1,500 bagi tempat kedua, dan satu tiket penerbangan ke Taipei bernilai $1,500 bagi tempat ketiga. Selain itu, RB juga menaja hadiah tempat pertama bagi Kategori ‘Progresif Weight Loss’ iaitu tiket pe-nerbangan ke Tokyo bernilai $1,900.
